PENERIMAAN IJAZAH BUKAN NOKTAH KEPADA KEMBARA ILMU
Saran DYMM Tuanku Canselor juga, “saudara dan saudari perlu mempunyai keberanian dan inisiatif untuk melakukan inovasi dan kreativiti dalam menghadapi persekitaran ekonomi global. Model baru ekonomi dan tranformasi ekonomi kerajaan memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran ilmu yang pelbagai yang dikenali sebagai k-economy atau ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan”. Disamping menuntut ilmu secara formal kita harus jangan lupa kegiatan secara luar bilik darjah dan aktiviti kemasyarakatan juga merupakan sumber peningkatan ilmu dan sahsiah. Program seperti yang di utarakan oleh DYMM Tuanku Canselor, “saya amat terharu dengan program USR UTM yang menunjukkan staf dan mahasiswa UTM juga prihatin terhadap masalahmasalah yang berlaku di luar kampus. Pada masa kini, UTM juga mengambil inisiatif untuk menjayakan program service learning dengan mencontohi beberapa universiti di Indonesia”, antara yang perlu dicontohi oleh graduan. Yang pentingnya kita wajar tidak jemu mencari dan menambah ilmu di dada. Pesanan DYMM Raja Zarith Sofiah melalui majlis Konvokesyen tersebut tidak harus di pandang ringan. “Sesungguhnya orang-orang yang berilmu itu mempunyai keistimewaan luar biasa untuk menilai dan berfikir dengan matang dan bijaksana”. KAMPUS LESTARI MENJANA PENEROKAAN ILMU
JOHOR BAHRU, 24 September – Jika anda melalui Lebuhraya Senai Johor Bahru selepas menyeberang sempadan daerah Johor Bahru dan Kulai Jaya pasti anda akan bertemu dengan sesuatu yang agak unik di kanan anda. Maju sedikit lagi anda masuk ke simpang Pontian dan anda boleh masuk ke arah UTM, tarikan di kanan anda tadi. Masuk sahaja ke pintu Universiti pula anda seolah-olah disambut dan dialu-alukan dengan kehijauan serta keheningan tasik. Ini di indahkan lagi dengan rimbunan pokok pelbagai bentuk di keliling anda. Memang itulah antara lanskap yang begitu kondusif samada untuk bersantai mahupun untuk belajar di Universiti Teknologi Malaysia. Pihak Universiti sentiasa berusaha menjadikan kampus UTM satu tempat yang menarik, nyaman dan yang penting lestari untuk warga pelajar dan stafnya. Lanskap yang mempesonakan ini sengaja di bentuk sebegitu rupa seperti lontaran dari ucapan Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd. Noor semasa berucap di majlis konvokesyen UTM ke 47 baru-baru ini. “UTM juga telah berjaya mewujudkan suasana kampusnya yang hijau, bersih dan semulajadi yang memberikan persekitaran yang kondusif untuk menghayati budaya ilmu sesuai dengan Konsep Kampus Lestari. Dalam perkara ini, tahniah kapada Pengurusan Universiti yang telah mengharamkan kegunaan polystyrene dan mencari bahan alternatif yang lebih mesra alam”. “Lestari merujuk kepada tindakan bersepadu dan seimbang dalam bidang ekonomi, sosial dan persekitaran untuk memenuhi keperluan generasi sekarang tanpa mengenepikan kepentingan generasi akan datang. Seterusnya memelihara alam sekitar dan sumber tenaga secara efektif. Suasana tenang dan tenteram ini sememangnya merangsang warga kampus untuk belajar, melakukan kajian, berfikir dan berinovasi”. Walaupun pembangunan kadangkala terpaksa mengorbankan lestari alam, pihak UTM sedari dahulu sebaik mungkin mempertahankan kelestarian tersebut. Maka tidak hairanlah UTM sentiasa menjadi pusat kegiatan akademia dan eko pelancongan lain termasuk perkemahan hutan. Ini ditambah lagi kini di UTM telah ada kompleks stadium dan kolam renang yang akan terus menarik jabatan kerajaan dan swasta untuk mengadakan karnival sukan serta aktiviti lain yang berkaitan. PRESTASI UTM SEJAJAR DENGAN STATUS UNIVERSITI PENYELIDIKAN
JOHOR BAHRU, 24 September – Prestasi yang ditunjukkan oleh Universiti akhir-akhir ini telah hampir pasti menepati statusnya sebagai Universiti Penyelidikan. Angka-angka seperti yang dibentangkan oleh Y.Bhg. Prof. DatoÕ Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor semasa berucap di majlis Konvokesyen ke 47 UTM adalah fakta menjelaskan perkara tersebut. Bagi sesi akademik 2011/12 yang baru bermula dua minggu, kemasukan mahasiswa baru adalah bermutu tinggi dari segi kualiti dan kuantiti ambilan. Seramai 3,024 orang telah mendaftar program Ijazah Sarjana Muda dan 1,787 orang Ijazah Lanjutan. Ini menjadikan enrolmen Ijazah Sarjana Muda berjumlah 12,897 (56%) manakala enrolmen Ijazah Lanjutan menjadi 10,040 (44%). Angka ini menunjukkan sejak penubuhan UTM, jumlah mahasiswa peringkat Ijazah Lanjutan melepasi angka 10,000. Angka ini melonjak dari hanya 2 orang pada 1984, 175 orang pada 1990; 1,897 pada 2000; 3,004 pada 2005; 4,850 pada tahun 2008. Bagi memacu pencapaian UTM agar lebih cemerlang tanpa terlalu bergantung kepada geran kerajaan, maka pihak pengurusan UTM telah melancarkan Tabung Endowmen pada awal 2010. Inisiatif ini selari dengan hasrat UTM menjadi Autonomi Universiti menjelang tahun 2015. Tabung Endowmen bertujuan untuk menyediakan dana memajukan aktiviti akademik di UTM seperti penyediaan biasiswa berprestij, dana awal Kursi Profesor, penajaan makmal dan aktiviti akademik berimpak tinggi. Ketika kini dana terkumpul Tabung Endowmen telah mencecah lebih RM15 juta. Sementara itu, kemasukan mahasiswa antarabangsa juga semakin tinggi. Dengan tambahan 92 mahasiswa Ijazah Pertama dan 568 Pasca Ijazah pada pendaftaran baru, menjadikan mahasiswa antarabangsa berjumlah 4,162; berbanding sifar pada tahun 1990; 124 pada 2000; 364 pada 2005; dan 2222 pada 2008. UTM juga semakin meningkat dari segi daya saing dan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Pada pameran inovasi PECIPTA baru-baru ini di Kuala Lumpur, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, UTM sekali lagi mendahului universiti lain, termasuklah empat Universiti Penyelidikan lain di Malaysia dengan punggutan pingat emas tertinggi. Oleh itu selepas berjaya mendapat pengiktirafan Universiti Penyelidikan, tidak hairanlah pihak UTM berusaha pula untuk maju kedepan lagi dengan mensasarkan menjadi universiti berautonomi. Semoga impian tersebut tercapai dengan sebaiknya. TAN SRI DATO’ DR. YAHYA AWANG DILANTIK PRO CANSELOR
Menyingkap biodata Tan Sri DatoÕ Dr. Yahya Awang, beliau merupakan seorang Doktor Pakar Jantung yang terkenal di tanahair. Mendapat kelulusan Doktor Perubatan dari Monash University, Australia dan kepakaran dari Royal College of Surgeon and Physician, Glasgow. Berpengalaman yang luas dan pernah berkhidmat di Royal Hospital, Brompton UK, Hospital Besar Kuala Lumpur, Institut Jantung Negara dan terakhir di Hospital Pakar Damansara. ANUGERAH CANSELOR MENJADI MEDIUM PENGIKTIRAFAN KEPADA GRADUAN YANG CEMERLANG
JOHOR BAHRU, 24 September – Nurfarah Farhana binti Rasid dan Joseph Pang Kok Bing adalah antara penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-47 yang telah diadakan di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia. Anugerah Canselor dianugerahkan kepada graduan yang menerima PNGK 3.50 keatas. Bagi Nurfarah Farhana binti Rasid yang mengambil Sarjana Muda Ukur Bahan merupakan anak ke 3 dari 4 orang adik beradik yang berasal dari Johor Bahru. Anugerah Canselor yang diterima merupakan hadiah istimewa untuk kedua ibu bapanya yang memberi sokongan dan pensyarah yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan semangat sepanjang pengajian beliau di UTM. Beliau yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan Kontrak Pembinaan bercita-cita untuk menjadi pensyarah pada masa akan datang. Bagi beliau yang juga aktif dalam Persatuan Mahasiswa Ukur Bahan dan Pembinaan, antara resepi kejayaan adalah sentiasa memberi perhatian ketika sesi pembelajaran dan sentiasa membuat ulangkaji sebelum menjalani peperiksaan. Sementara itu,bagi Joseph Pang Kok Bing, graduan Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 24 tahun berasal dari Johor Bahru menjadikan permainan video sebagai kajiannya di peringkat Sarjana. Beliau yang aktif dalam menganjurkan kursus dan bengkel Bahasa Inggeris untuk sekolah- sekolah berpendapat bahawa permainan video bukan permainan semata-mata kerana ianya salah satu medium pengajaran untuk pelajar sekolah. Falsafah yang sentiasa dipegang oleh Joseph Pang Kok Bing ialah “balance between work and play”. Cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang pensyarah Bahasa Inggeris dan ingin menggunakan permainan video sebagai medium dalam pengajarannya pada masa akan datang. Kaedah pembelajaran yang digunakan ialah melalui permainan video, animasi, lagu dan teknologi yang pelbagai. TUN (DR.) ABDULLAH BIN AYUB DI ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN AWAM
Pihak UTM menganugerahkan ijazah ini di atas menghargai sumbangan dan jasa Y.Bhg. Tun (Dr.) Abdullah kepada Universiti khasnya dan Negara amnya. Di peringkat Universiti Y.Bhg. Tun merupakan Pro Canselor UTM dari tahun 1988 hingga Jun 2011. Dalam tempoh berkenaan Y.Bhg. Tun telah memberi sumbangan yang berimpak tinggi kepada kemajuan Universiti. Dengan pengalaman yang luas dalam perkhidmatan awam dan bakat kepimpinan yang terserlah beliau telah membantu pihak Universiti mencapai matlamatnya. Oleh itu tidak hairanlah begitu banyak penghargaan telah dianugerahkan kepada Y.Bhg. Tun diperingkat Negara seperti darjah kebesaran Persekutuan, negeri dan yang terakhir darjah kebesaran Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun. Anugerah berbentuk akademik pula beliau telah di anugerahkan Ijazah Kehormat dari universiti Awam seperti UiTM dan Universiti Malaya. PROFESOR DATO’ DR. HJ. ISMAIL BIN HJ. BAKAR TERIMA PROFESOR EMERITUS
Menyingkap kembali biodata DatoÕ Dr. Hj. Ismail beliau adalah lulusan Phd dari Bradford University, United Kingdom. Berkhidmat di UTM sebagai Penolong Pensyarah B pada tahun 1973, seterusnya dilantik sebagai Penolong Pensyarah A pada tahun 1977 dan kemudian menjawat jawatan Pensyarah pada tahun 1981. Ahli akademik ini terus mengorak langkah menonjolkan kecemerlangan sehingga melayakkan beliau dinaikkan pangkat kepada Prof. Madya pada tahun 1984 dan kemudiannya dilantik sebagai Profesor , UTM pada September 1991. Beliau di lantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Tun Hussein Onn pada tahun 1997. Kemudian DatoÕ Dr. Hj. Ismail dilantik sebagai Rektor, KUITTHO pada Disember 2000 dan berkat usaha gigihnya, beliau menjadi Naib Canselor UTHM pada tanggal 1 Februari 2007. Di atas sumbangan cemerlang tersebut beliau menerima pengiktirafan melalui Anugerah Ahli Mahkota Kedah (AMK) daripada Sultan Kedah pada tahun 1999, Anugerah Johan Setia Mahkota (JSM), daripada yang di-Pertuan Agong pada tahun yang sama. Anugerah Setia Diraja Kedah (SDK) pada tahun 2003, Anugerah DatoÕ Setia Diraja Kedah (DSDK) pada tahun 2007, dan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) dari Sultan Johor pada tahun yang sama. PENGORBANAN IBU BAPA, ILTIZAM KEJAYAAN SAYA – PENERIMA ANUGERAH DIRAJA
JOHOR BAHRU, 24 September – Bagi pasangan yang bekerja sebagai peladang Pn. Azimah Aziz dan En. Ali Rasol, tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan serta rasa bangga apabila melihat anak kedua mereka, Azad Anugerah Ali Rasol, diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen ke 47, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Penganugerahan ini telah disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM. Azad Anugerah, 23, yang berasal dari Bekok, Segamat ini dikenali sebagai seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktif dalam kegiatan persatuan. Beliau yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteran (Petroleum) pernah terlibat dalam Program Ekspedisi Biodiesel UTM pada tahun 2009 sebagai Pengarah Program. Menurut beliau, “universiti bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu, tetapi merupakan tempat terbaik untuk meningkatkan kualiti diri sebagai penentu masa depan. Jika mahu berjaya, kita mesti percaya dan yakin pada kemampuan diri sendiri.” Beliau menjadikan pengorbanan ibu bapanya sebagai pendorong untuk terus mencapai kejayaan. Beliau yang bercita-cita untuk menjadi ahli akademik pada satu hari nanti, bakal bergelar jurutera di salah sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka di Denmark. Kejayaan beliau turut menjadi sumber inspirasi kepada isterinya, Siti Aminah Setu, yang juga merupakan graduan UTM yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Oxford University. |
Last Updated on Monday, 26 September 2011 03:15 |